Thursday, 20 September 2012

Daripada FB Ustaz Pahrol pt 11

Sangka baik kita terhadap seseorang walaupun sebenarnya dia tidak sebaik yang kita sangka, tetap memberi kebaikan... itu akan memperbaiki diri kita! 

Orang yang cinta seseorang dengan keyakinan orang yang dicintainya itu dicintai Allah, tetap akan mendapat kelebihan orang yang menyintai kerana Allah walaupun hakikatnya orang yang dicintainya itu bukan orang yang mencintai ALLAH!

Namun berdoalah, supaya kita menyintai orang yang benar-benar menyintai Allah. Amin.

Berapa banyak nasihat, apabila difikirkan secara tulus dan mendalam sebenarnya... lebih diperlukan oleh pemberinya berbanding penerimanya!

Syaitan yang dikenali atau tidak dikenali sama sahaja... dia tetap syaitan. 

Paling utama, mengenali 'syaitan' dikalangan manusia... mungkin DIRI kita sendiri!

Apabila manusia sering mengecewakan kita untuk sama-sama melalui jalan Allah itu isyarat untuk kita perlu lebih serius memperbaiki diri dan hati dengan Allah...Insya-Allah, nanti manusia itu akan kembali semula bersama kita melalui jalanNYA... 

Atau kita dikurniakan hati yang tidak memerlukannya lagi bersama kita, kerana siapa yang akan bersama kita di jalan Allah adalah pilihan mutlakNYA jua, bukan pilihan kita... 

Lalu, baikilah diri, jika kita benar-benar ingin memperbaiki orang lain!

Akibat dua orang yang berbalah... detik Lalilatul Qadar yang hendak disampaikan oleh Rasulullah SAW dihilangkan Allah.

Betapa pula kini, perbalahan ini sudah bertahap ummah, dan ironinya Lailatul Qadar dicari dengan hati yang dipenuhi mazmumah. 

Hati yang dikuasai mazmumah tidak akan menjadi tempat singgah para Malaikat... sekalipun seluruh anggota rajin dan banyak beribadah.

Bukan dengan kekuatan diri kita... tetapi dengan bantuan Allah.

Gunakanlah segala kekuatan kita untuk mendapat bantuan Allah. Tetapi jangan lupa berdoa kepada Allah untuk membantu kita meraih bantuanNya. 

Kekuatan kita, hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah. Dengan kelemahan itulah kita akan diberi kekuatan oleh Allah untuk mendapat bantuanNya. 

Hakikatnya, kita mesti dibantu untuk mendapat bantuanNya. Ya Allah, jangan serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walaupun sekelip mata! Amin.

Puasa itu "menahan" nafsu dalam usaha mendidik dan melatihnya. Nafsu tidak boleh dihapus, tetapi hanya boleh diurus. 

Sekat kekuatannya dengan 'Shiam' pada siangnya - dengan tidak makan, minum serta menahan pancaindera daripada maksiat dan dosa. 

Bebankan ia dengan 'Qiam' pada malamnya - dengan solat, tadarus dan ibadah sunat. 

Beribadahlah sehingga diri menjadi letih untuk melakukan maksiat!
Perangilahlah nafsu, musuh yang paling disukai dan dicintai oleh diri. 

Salam Mujahadah di permulaan Ramadan yang penuh rahmah dan barakah...

katakan kepada keegoanmu... 'kau' bukan aku!

Minit-minit awal sebaik sahaja bangun tidur sangat kritikal bagi menentukan kejayaan pada hari itu. 

Alangkah indahnya hari ini dimulakan dengan qiamulail, solat Subuh berjemaah, kemudian hadir dalam majlis ilmu, berzikir atau apa jua amal soleh...walaupun sekadar ke pasar untuk membeli barang keperluan keluarga dengan niat kerana Allah.

Atau setidak-tidaknya dengan memberi salam, senyum dan menyapa mesra kepada sesiapa sahaja orang-orang yang paling awal kita temui. 

Pertahankan sehingga jam 10 pagi, dan seterusnya... akan berjalan lancar dengan sendirinya. InsyaAllah, bagaimana muqadimahnya, begitulah nanti natijahnya. Amin ya Allah.

Untuk muhasabah diri samada kita insan yang baik atau sebaliknya ialah dengan menilai rasa hati terhadap insan di sekeliling...

Jika banyak sangka baik, insyaAllah... mudah-mudahan kita baik. 
Jika sebaliknya, berhati-hatilah... yang kita lihat itu, itulah diri kita.

Hanya orang yang baik dapat melihat kebaikan dan bersangka baik, manakala orang yang buruk akan sentiasa melihat keburukan dan bersangka buruk!

Wallahua'lam.

Nilai diri kita bukan terletak pada barang-barang bernilai yang kita miliki. Jika nilai kita adalah barang-barang bernilai...siapa diri kita apabila barang-barang itu hilang?

Nilaian kita di sisi Allah ialah taqwa, nilai kita di sisi manusia ialah akhlak.

Jika kita tidak syukur dengan yang sedikit, pasti kita kufur dengan yang banyak.

Jika kita tidak mampu meminta maaf, pasti kita sukar memberi maaf.

Jika kita payah untuk dipimpin, pasti lebih payah apabila memimpin.

Kaya itu bukan kerana memiliki... tetapi tidak DIMILIKI.

Yang paling wajar kita maafkan ialah... DIRI sendiri. Maafkanlah dirimu, berilah harapan kepadanya. Bersangka baiklah pada diri sendiri atas kemampuannya untuk berubah. InsyaAllah, Allah mengikut sangka hambaNYa... termasuk sangkanya terhadap dirinya sendiri. Amin.

Untuk gembira... gembirakan orang lain!

Tidak ada jalan yang panjang jika kita melaluinya bersama orang yang tersayang.

Jalan menuju Allah itu itu 'mudah' jika ada isteri di sisi seperti Khadijah.

Jalan Hijrah itu tidak sukar jika bersamanya ada teman seperti Sayidina Abu Bakar.

Untuk mendidik orang lain jadi baik... mudah sahaja, JADI BAIK.

Penyesalan semalam, kebimbangan tentang hari esok... akan merampas ketenangan hari ini. 

Lalu... padamkanlah penyesalan semalam dengan taubat, kebimbangan esok dengan tawakkal dan tuailah ketenangan hari ini dengan sabar. 

Ya Allah, barakah Jumaat ini, ingatkanlah kami untuk sentiasa mengingati MU.

Selagi kita manusia, selagi itulah akan ada perbezaan dan pertentangan. 
Namun akhirnya, apa yang kita harapkan... adalah kedamaian jua.

Bataskanlah sempadan persengketaan. 
Hadkanlah bisa perkataaan. 
Sesungguhnya itu akan memudahkan jalan meminta dan menerima kemaafan. 

Selagi kita muslim, selagi itulah kita bersaudara. 
Mudah-mudahlah leburlah 'aku' dan 'kami'... yang teguh cuma 'kita'!

Iman itu aman. 
Orang yang beriman akan merasa aman dalam hatinya dan sentiasa memberi keamanan kepada orang lain.

Lisan dan tindakan yang baik masih boleh dilakon-lakonkan tetapi rasa aman yang bergetar di dalam jiwa tidak boleh diraih dengan cara berpura-pura.

Nikmat maksiat itu singkat, tetapi penyesalannya berpanjangan. Sukarnya taat itu pedih tetapi kemanisannya berkekalan. Justeru bermujahadahlah, kita tidak akan kalah selagi tidak mengalah.

Tanda kita bahagia, kita mampu membahagiakan orang lain. Bahagia itu dari ketenangan, ketenangan itu hasil mengingati Allah...
Justeru, orang yang akrab dengan Allah sahaja mampu membahagiakan manusia.

Jika tidak ada harta, mana mungkin ada pahala sedekah dan zakat? Jika tidak ada senjata, mana mungkin ada perjuangan dan jihad? 

Tanpa harta Sayidina Abu Bakar ra, Bilal akan terus menjadi hamba. Tanpa infak harta oleh Sayidina Utman ra, kaum Ansar dan Mujahirin tidak akan ada sumber air di Negara Islam Madinah. 

Justeru, jadilah tangan yang di atas… dengan mencari, memiliki dan memberi harta. Milikilah hati yang celik… dengan mencintai syurga tanpa meminggirkan dunia!

Jika kita terpaksa memberitahu orang lain yang kita kaya, kita tidak kaya. Jika kita menagih perhatian orang lain untuk membuktikan kita bahagia, kita belum bahagia. 

Apa yang dirasakan dalam hati sendiri lebih penting daripada mengharapkan penghargaan orang lain. Di samping Allah tahu siapa kita yang sebenar...kita sendiri juga tahu siapa kita yang sebenar.

Berpura-pura bahagia akan menyebabkan kita lebih menderita. Berlagak kaya akan menyebabkan kita papa kedana!

Hari-hari adalah hari ibu sekiranya kita mendoakan ibu setiap kali selepas solat lima waktu. 
Hadiah terbaik seorang anak kepada ibunya ialah dengan berusaha menjadi anak yang soleh atau solehah...
Rayakanlah 'hari ibu' setiap hari dengan berdoa untuknya dan sentiasa bermujahadah untuk menjadi anak yang soleh dan solehah.

Ujian datang untuk mengingatkan... 
Tuhan melontar kita dengan batu-batu kecil (ujian), tetapi sekiranya kita masih alpa, Tuhan mula melontar kita dengan batu-batu besar. Jangan sampai dilontar dengan batu bata... untuk tersedar dari alpa. 
Dengarlah bisikan, jika tidak kita terpaksa mendengar jeritan!

Sukarnya untuk mendidik diri agar bersyukur lebih mudah daripada menerima akibat daripada sikap tidak bersyukur.
Rasa bersyukur itu hanya timbul dari hati yang melihat apa yang telah ada bukan pada yang tiada.
Namun sikap kita manusia biasanya... Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan. Kita sering menghitung kesukaran bukan kesyukuran. 
Ya Allah bantulah hati kami untuk bersyukur atas nikmatMu yang tidak terhitung ini. Amin.

Mengalah kepada kebenaran itulah kemenangan yang sebenarnya.

Tanpa Iman, manusia tidak akan ada pendirian. 
Tanpa pendirian manusia akan menjadi hamba pada keadaan. 

Iman itu merubah keadaan, bukan sebaliknya. 
Sesungguhnya, apa yang berlaku di dalam dri kita lebih penting daripada apa yang berlaku di luar diri kita! 

Oleh itu, sekiranya hati kita mudah berubah-ubah mengikut kedaaan yang sedang kita hadapi... bererti iman masih goyah, yang di luar masih kuat mempengaruhi yang di dalam.

Semakin banyak kelebihan kita, hakikatnya semakin banyak 'hutang' kita kepada Allah. Bukankah semua itu kurniaan Allah? 
Justeru, sudah sewajarnya semakin tinggi ilmu, harta dan kuasa yang kita miliki, maka semakin malu kita kepada Allah. Kita hanya peminjam...

Apa sahaja yang berlaku pada diri kita, tidak Allah takdirkan tanpa tujuan. Carilah apa tujuan itu... InsyaAllah, hidup kita akan sentiasa bertujuan. Capailah tujuan itu kerana disitulah letaknya kejayaan dan kebahagiaan kita.
Hidup adalah satu siri pelajaran yang panjang dan berterusan. Allah mendidik kita pada setiap yang berlaku dalam hidup ini.
Tujuannya? Untuk kita menjadi lebih baik... sebagai hamba Allah dan Khalifah!

Seorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar. Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Wallahua'lam.

Pujuklah hati apabila sesuatu yang berbeza dengan kehendak kita berlaku dalam hidup ini. Setiap yang Allah takdirkan pasti ada hikmah dan kebaikannya. Mungkin kita inginkan kesenangan, tapi Allah anugerahkan kesabaran. Kita inginkan keindahan, tetapi Allah kurniakan kebenaran. 
Bukankah kesabaran dan kebenaran itu lebih berharga daripada keindahan dan kesenangan?

Perjalanan menuju kematian telah bermula sebaik kita dilahirkan. Ingat mati adalah penawar untuk kesedihan hati apabila ditimpa ujian. Penghilang rasa nikmat untuk melakukan maksiat. Dan pendorong untuk istiqamah dalam melakukan ketaatan. Ya Allah, bantulah hati kami untuk sentiasa ingat untuk mengingati kematian. Amin.

Keikhlasan teruji ketika di pertengahan dan di hujung satu amalan. Ketika dipuji atau dikeji, bagaimana rasa hati kita? Apakah dipuji timbul dorongan untuk menambah amal, atau bila dikeji muncul rasa hati ingin menghentikannya?
Itulah boleh dijadikan asas muhasabah keikhlasan kita melalui rasa hati.
Apakah ada syukur selepas amalan itu dilaksanakan dengan baik yakni dengan mengambalikan semuanya kepada Allah? Apakah ada sabar sekiranya amalan yang dibuat ada kekurangannya...

Merajuk pada yang kasih, merayu pada yang sudi. Siapa lagi lagi akan terus kasih dan sudi mencintai...ketika semuanya telah berpaling kecuali Allah.

Gembira kerana dapat melakukan kebaikan jangan sampai menimbulkan rasa takbur. Kesedihan kerana melakukan dosa jangan sampai menimbulkan rasa putus asa. 
Orang beriman cuba menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya, sepertimana orang munafik cuba menyembunyikan kejahatannya.

Selagi belum kenal Rasulullah, selagi itulah kita tidak mencintainya. Kita cuma mengetahui, belum mengenalinya. Mengetahui itu dengan akal, mengenali itu dengan hati. 
Ya Allah bantulah kami untuk mengenali seterusnya mencintai kekasihMU. Amin.

Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Inilah penawar untuk hati apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku dalam hidup. Hakikatnya, telah banyak kali sesuatu yang baik telah kita nikmati walaupun pada mulanya itu tidak kita ingini terjadi. Dan itulah yang akan terus terjadi hari ini, esok dan hingga akhir nanti...

Terima kasih ustaz atas ilmu ini.....


1 comments:

Anonymous said...

Best Bitcoin Casino - Play at the Best Online Casino 2021
Online 바카라사이트 Casino youtube to mp3 Sites with Best Crypto Casino Games — Play at the best Online Casino 2021. Play at the best Online Casino 2021. Play 인카지노 at the best Online Casino 2021.

Post a Comment