Wednesday, 12 September 2012

Kehidupan Berkeluarga Rasulullah Contoh Terbaik


 oleh Marzulina Omar
Panel Penulis JAKIM

SATU aspek sangat baik dicontohi daripada akhlak Rasulullah SAW ialah kehidupan berkeluarga memandangkan masyarakat hari ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti perceraian suami isteri, sumbang mahram serta penderaan.
Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda SAW menunjukkan contoh terbaik dalam memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.



Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Sebagai suami, Baginda SAW begitu menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan.
Baginda SAW juga tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah. Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya: “Baginda SAW (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda SAW Aisyah yang meriwayatkan: “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, Baginda SAW akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa Baginda SAW akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.
Dalam kehidupan berpoligami juga, Baginda SAW adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata.
Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.
Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda SAW datang menemui Baginda SAW, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda SAW tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda SAW menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.
Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda SAW mengikut giliran dan sebelum Baginda SAW meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda SAW berkumpul kerana Baginda SAW hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.
Rasulullah SAW adalah bapa penyayang. Acap kali apabila Baginda SAW melihat Fatimah masuk ke rumahnya, Baginda SAW terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah sebab Baginda SAW amat sayang kepada Fatimah. Baginda SAW menegaskan, “Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”
Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah mencintai ayahandanya lebih daripada cintanya kepada sesiapa pun.
Selepas ibunya Khadijah meninggal dunia, dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya.
Justeru, Rasulullah memanggilnya dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya.
Memiliki sebuah keluarga harmoni memerlukan ikatan yang mesra bukan saja dengan anak dan isteri, malah menantu juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui kehidupan Ali sebagai menantu Baginda SAW.
Ali ra. sebagai menantu Rasulullah SAW turut sama menyingsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di dapur. Usaha sekecil itu, di celah kesibukan sudah cukup bermakna dalam mengambil hati seorang isteri yang saban hari bertungkus-lumus menguruskan rumah tangga.
Bukan Sayidina Ali ra. tidak mahu menyediakan pembantu untuk isterinya itu, namun beliau tidak mampu berbuat demikian. Fatimah ra. amat memahami keadaan suaminya dan beliau sentiasa berusaha membahagiakan suaminya.
Contoh kasih sayang datuk terhadap cucunya boleh dilihat daripada cara Baginda SAW melayani kedua-dua cucu kesayangan iaitu Hassan dan Hussin, anak Siti Fatimah ra. dan suaminya Saidina Ali ra..
Rasulullah SAW bukan saja sentiasa membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda SAW menghampiri Baginda SAW , Baginda SAW terus mendukungnya. Baginda SAW juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya bersama.
Baginda SAW selalu meriba mereka. Pernah ketika Baginda SAW sedang sujud dalam solat, cucu Baginda SAW duduk di atas belakang Baginda SAW sehinggakan Baginda SAW sujud agak lama. Baginda SAW juga selalu bermain kuda-kuda dengan cucunya.
Tarikh : Mac 17, 2008 - 12:53pm
Editor : projakim
Sumber artikel : http://www.islam.gov.my/kehidupan-berkeluarga-rasulullah-contoh-terbaik-oleh-marzulina-omar-bharian-13-mac-2008

0 comments:

Post a Comment