Tuesday, 11 September 2012

Jin Ifrit Mencuri Cincin Nabi Sulaiman

  Salah satu mukjizat yang diberikan oleh Allah swt kepada nabi Sulaiman a.s ialah tertulis pada cincinnya namanya dan nama Allah swt. Adapun setiap sesuatu yang tertulis nama para nabi dan nama Allah tidak boleh di bawa ke sebarang tempat seperti tempat-tempat yang hina seperti tandas, tempat bermaksiat serta tidak boleh juga di bawa tidur dan ketika berhadas besar.

     Kerajaan Nabi Sulaiman a.s masyur semasa pemerintahan beliau sehinggakan angin pun tunduk patuh padanya. Sehinggakan ini memudahkan nabi Sulaiman a.s untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat tanpa berkenderaan. Cukup sekadar memerintahkan angin membawanya terbang di atas permaidani sekiranya beliau dan pembesar-pembesar beliau ingin melawat daerah kekuasaan beliau yang luas itu.

    Pada suatu hari Nabi Sulaiman a.s bersama pembesar-pembesar kerajaannya pergi melawat salah satu daerah di bawah kekuasaan beliau berkenderaankan permaidani yang diterbangkan angin sehingga baginda melalui sebuah perkampungan nelayan yang terletak di tepi laut.Di ketika itu kelihatannya penduduk sedang menjemur ikan. Di situ juga terdiri daripada kalangan gadis-gadis sedang menjalankan aktiviti menjemur ikan. Di antara ramai-ramai gadis itu, terdapat salah seorang gadis yang berkulit amat hitam dan  tidak menarik perhatian kaum lelaki.

    Apabila Nabi Sulaiman a.s dan pembesar-pembesar melalui kawasan tersebut, secara tiba-tiba kawasan tersebut menjadi redup, penduduk kehairanan dan mendongak ke atas, tahulah mereka rupa-rupanya Nabi Sulaiman a.s dan rombongannya sedang melalui kawasan tersebut.

    Sedang berada dalam keadaan demikian, berkatalah gadis yang berkulit amat hitam tadi "alangkah bahagianya jika aku menjadi permaisuri Nabi Sulaiman a.s".

    Apabila teman-teman gadis mendengar luahan hati gadis tersebut, berderailah ketawa mereka diringi dengan ejekan yang menghiris hati " dengan rupamu yang hitam ini, ada hati hendak menjadi permaisuri Nabi Sulaiman a.s, cerminlah mukamu wahai gadis hitam, sedangkan kami yang cantik rupa paras ini tiada keinginan hendak menjadi permaisuri Nabi Sulaiman.Apatah lagi jejaka-jejaka di kampung ini pun tidak sudi memandang wajahmu. " riuh rendahlah deraian ketawa mereka mentertawakan si gadis hitam tadi.

    Mendengar cemuhan teman-temannya itu, merasa sayulah hati si gadis hitam yang malang itu. Dirinya ibarat pungguk rindukan bulan. Rupa buruk bukanlah dipinta. Akhlak mulia lebih utama.

   Setelah Nabi Sulaiman a.s dan pembesar-pembesar selesai dari menjelajah daerah kekuasaan baginda, merekapun pulang ke rumah masing-masing.

    Setibanya Nabi Sulaiman a.s di istana, baginda merasa ingin ke tandas, baginda melucutkan cincin yang tertulis nama Allah dan namanya lalu diserahkan kepada isterinya untuk disimpan.

    Pada masa itulah datangnya jin ifrit menyerupainya sepertimana rupa Nabi Sulaiman a.s dan menghampiri isteri beliau dan berkata " Wahai isteriku ambilkan cincinku tadi" , isterinya pun tanpa syak wasangka menyerahkan cincin tersebut kepada jin ifrit kerana disangkanya Nabi Sulaiman a.s.

      Apabila Nabi Sulaiman a.s menyelesaikan hajatnya, baginda menemui isterinya dan meminta dipulangkan cincin baginda tadi. Isterinya bersungguh-sungguh berkata " Sesungguhnya aku telah menyerahkan cincin padamu tadi"  Nabi Sulaimana a.s kehairanan dan berkata " baru kali ini aku meminta cincinku dikembalikan" dan isterinya dengan sungguh memberitahu bahawa beliau telah menyerahkan cincin tersebut kepada baginda.

         Nabi Sulaiman a.s. merasa serba salah dan curiga. Kemungkinan cincin itu telah dicuri oleh seorang yang menyamar sebagai diri baginda kerana isterinya tidak mempunyai alasan untuk menyerahkan barang kepunyaannya kepada sesiapapun jua.
            Adapun Ifrit setelah ia mencuri cincin tersebut, iapun masuk ke dalam istana kerajaan dan duduk di singgahsana sambil memerintah rakyat Nabi Sulaiman a.s. ke istana dan mendapati seorang yang menyerupai dirinya duduk di atas singgahsana. Maka fahamlah baginda kedudukan perkara.

             Lalu baginda berkata: “Wahai rakyatku sekalian, sesungguhnya akulah Sulaiman, raja kamu yang sebenar.”

             Jawab rakyatnya: “Tidak, raja itulah yang sedang memberi ucapan. Kamu bukan raja kami. Raja Sulaiman yang sebenar adalah dia yang duduk di kerusi singgahsana. Kamu pendusta!”

            Apabila rakyatnya tidak percaya lagi pada baginda, maka baginda pun pergi meninggalkan istana, menuju dari sebuah perkampungan ke perkampungan yang lain dan menyatakan dirinya sebagai Raja Sulaiman tetapi kesemua mereka menafikannya.

Akhirnya baginda pergi ke sebuah kampung nelayan yang terletak di tepi laut, lalu baginda menyatakan hajatnya untuk turut bekerja sebagai nelayan kepada seorang nelayan di tempat itu. Nelayan itu menerima hajat baginda tanpa menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Raja Sulaiman.

            Nabi Sulaiman a.s. menjalani kehidupannya sebagai seorang nelayan dengan baik dan baginda bekerja bersungguh-sungguh tanpat mengenal jemu dan penat sehingga menghasilkan pendaptan yang lumayan dengan nelayan itu.

             Pada suatu hari, ketika baginda duduk berehat menunggu waktu makan tengahari, baginda tertidur oleh sebab keletihan.

             Tidak lama kemudian, datanglah anak gadis nelayan tersebut membawa makanan tengahari. Berkata si nelayan kepada anaknya: “Wahai anakku, panggillah Sulaiman untuk makan tengahari bersama kita.”
       
     Gadis tersebutpun pergilah mendapatkan baginda yang sedang tidur sambil dikipas oleh seekor ular dengan sehelai daun. Alangkah terkejutnya gadis itu melihat keadaan yang luar biasa ini, lalu segera dikhabarkan kepada ayahnya. Apabila si nelayan menyaksikan sendiri perkara itu, ia pasti baginda bukan sebarangan orang tanpa mengesyaki baginda adalah raja Sulaiman. Mereka meninggalkan baginda sendirian sehingga akhirnya baginda terjaga dari tidurnya dan merekapun menghadapi hidangan tengahari bersama-sama.
             Setelah beberapa lama Nabi Sulaiman tinggal nelayan, maka nelayan itu bermaksud untuk mengahwinkan anaknya dengan baginda. Nabi Sulaiman as tidak pula menolak kehendak nelayan itu. Maka hiduplah Nabi Sulaiman a.s. bersama gadis hitam yang pernah bercita-cita untuk menjadi isterinya suatu masa dahulu sebagai suami isteri yang sah tanpa gadis itu menyedari bahawa Tuhan telah menjadikan impiannya suatu kenyataan.
 
             Manakalah di istana yang telah ditinggalkan baginda, Ifrit menyamar sebagai Nabi Sulaiman as memberikan pengajaran yang menyesatkan manusia. Berpunca dari amarannya yang jahat itu, Ifrit tidak sanggup menyimpan cincin baginda yang dicurinya itu, kerana khianatnya cincin itu lalu dicampakkannya ke dalam laut yang kemudiannyaditelan oleh seekor ikan. Ifrit meninggalkan takhta kerajaan. Ketika itulah orang ramai baru menyedari kepalsuan orang yang selama ini mengaku dirinya Raja Sulaiman rupanya jin yang menyamar sebagai baginda.

             Segala sesuatu hanya Allah swt yang menentukan.
             Sebagaimana biasa, nelayan dan Nabi Sulaiman as keluar menangkap ikan sebagai memenuhi keperluan hidupnya. Kebetulan pada hari itu, masuklah ikan yang menelan cincin Nabi Sulaiman as ke dalam pukat mereka. Menjelang senja, kembalilah mereka ke rumah. Sebahagian daripada ikan yang ditangkap hari itu mereka jemur manakala sebahagian lagi dijadikan hidangan makan malam.

             Tatkala isteri baginda menyiang ikan yang akan dimasak malam itu, tiba-tiba ditemui dalam perut ikan itu sebentuk cincin yang bertuliskan nama Nabi Sulaiman as dan nama Allah.

             Segeralah isteri baginda mengkhabarkannya. Demi melihat baginda akan cincin itu, baginda terus mengucap syukur sebanyak banyaknya kepada Tuhan kerana haknya telah dikembalikan tanpa ia duga sementara rasa kasih terhadap isterinya semakin bertambah.

             Setelah cincin itu disarungkan, barulah rakyat baginda meyakini bahawa baginda adalah sebenarnya Raja Sulaiman.

            Nabi Sulaiman as bermaksud untuk kembali ke istana dan melihat keaaan rakyat baginda yang telah lama ditinggalkan. Baginda juga berhasrat untuk membawa isteri baginda bersama-sama tetapi merasa keberatan kerana ditakuti isterinya akan menjadi bahan ejekan berpunca dari kehitaman rupanya itu. Baginda lalu berdoa kepada Allah Taala supaya mengubah rupa isterinya yang hodoh itu menjadi cantik. Doa baginda dimakbulkan sehingga merasa cemburulah teman-teman yang pernah menghina dan mengejek isterinya dahulu.

            Baginda beserta isterinya kembali ke istana dengan disambut meriah oleh rakyat jelata yang telah menyedari kesilapan meraka.

             Kemudian pada suatu hari, dikumpulkanlah sekalian rakyatnya, baik dari golongan manusia, jin dan juga binatang kerana Nabi Sulaiman ingin mengetahui siapakah yang telah mencuri cincin baginda dan menyesatkan rakyat dengan perbuatan durjana. Sesiapa yang telah melakukan kesalahan pasti takut untuk bertemu dengan baginda.

             Setelah sekalian rakyat berkumpul, ternyata yang tidak hadir aalah jin Ifrit. Dengan ini, diisytiharkan bahawa Ifritlah yang telah mencuri cincin baginda. Mendengar kenyataan ini, merasa marahlah golongan jin terhadap Ifrit kerana telah memalukan bangsa mereka di khalayak ramai. Lalu Nabi Sulaiman as memerintahkan beberapa orang bangsa jin untuk menangkap Ifrit. Bangsa jin yang diperintah itu segera pergi mencari tempat persembunyian Ifrit.

             Akhirnya ditemui Ifrit bersembunyi di batu karang di dasar lautan. Ifrit lalu dihadapkan kepada Nabi Sulaiman as dan baginda menghukum sesuai dengan kesalahannya.
sumber : http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=345:jin-ifrit-mencuri-cincin-nabi-sulaiman-as&catid=10:kisah-dan-tauladan&Itemid=74

0 comments:

Post a Comment