Thursday, 20 September 2012

Daripada fb ustaz pahrol pt 1




Apabila ibadah tidak terasa kemanisannya, itu petanda hati telah dibebani dosa mata...

Siapa yang menjaga pandangannya akan diberi kemantapan jiwa - Sayidina Umar Al Khattab.

Dua gelaran yang saya sering nafikan... tetapi saya tetap dipanggil dengannya. Pertama, ustaz. Kedua, haji. 

Saya bukan seorang ustaz, saya hanya seorang Daie.. ingin menegakkan Islam dalam diri disamping menyeru orang lain. 
Saya 'belum' 
seorang haji... sedang mengumpul dana dan menunggu quota tambahan untuk direzekikan mengerjakannya.

Saya mohon, mohon sangat, agar penjelasan ini diterima seadanya. Mohon maaf.

Semuanya telah saya telah jelaskan dalam blog saya www.genta-rasa.com di bawah tajuk: Murabi Atau Selebriti? sejak lama dahulu.





Jemu itu satu fitrah...
Jemu itu satu anugerah...
Apabila Allah anugerahkan rasa jemu, itu isyarat supaya kita mencipta kebaikan yang baru!





Nasihat hanya berkesan apabila pemberi nasihat tidak merasa lebih baik daripada yang dinasihati.

Tidak mungkin kesombongan dapat dicegah oleh satu kesombongan... sepertimana air najis tidak akan dapat menyucikan najis.





Dalam rumah, ada manusia, dalam manusia ada hati... hati manusia yang berada di rumah itu lebih berharga daripada rumahnya.

Dalam kereta, ada manusia, dalam manusia ada jiwa... jiwa manusia di dalam kereta itu lebih berharga berbanding keretanya.

Nilai manusia bukan terletak pada barang-barang bernilai yang dimilikinya, tetapi pada hati dan amalannya yang dinilai oleh Tuhannya.

Kata orang yan
g bijaksana, "nilai seorang lelaki hanya diketahui apabila segala barang-barang bernilai hilang daripadanya!"

Jangan cuba "membeli" kejayaan dan kebahagian... kerana itu adalah kekayaan hati yang tidak mungkin boleh dibeli oleh wang!

Tetapi... burulah kebahagian dengan mencari KEBENARAN (iman) dan raihlah kejayaan dengan melakukan KEBAIKAN (amalan).





Hitunglah semua yang ada pada diri kita yang tidak dapat dibeli dengan wang... itulah hakikatnya kekayaan HATI yang kita miliki.





Apabila kata-kata semakin berbisa...
Apabila tingkah sering jadi tersalah...
Itu didikan Allah untuk kita supaya DIAM

Diam itu perisai kebodohan
Diam itu penghias kebijaksanaan

Tak perlu kata apa-apa, tidak perlu buat apa-apa... raihlah pahala dan hindarilah dosa hanya dengan DIAM!





Bertaubatlah atas satu taubat yang mungkir... menangislah kerana kita tidak mampu menangis.

Ya Allah, ajarlah kami untuk mencintaiMU!





Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik... didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi 'siapa kita' ketika melihatnya!

Orang yang baik akan sentiasa dapat melihat kebaikan.





Petanda ibadah diterima... timbul kekuatan untuk terus beramal.
Petanda taubat diterima... hilang keinginan untuk melakukan dosa.
Petanda doa dimakbulkan... terpahat keyakinan yang kuat doa itu dimakbulkan.

Lailatul Qadar diburu dengan kesungguhan beribadah dan bermujahadah mengikis sifat mazmumah.
Bermaafanlah sessama insan, agar mudah kita mendapat keampunan Tuhan!

Taqwa nilai manusia di sisi Allah.
Akhlak nilai manusia sesama manusia.
Taqwa dan akhlak itu tidak dapat dipisahkan... siapa yang paling akrab hubungannya dengan Tuhan, pasti intim juga hubungannya sesama insan.





Meninggalkan maksiat di siang hari akan memudahkan ibadat di malam hari.

Justeru, pemburuan malam Al Qadar, bermula daripada terbit mentari bukan sewaktu terbenamnya.

Jika tidak mampu meraih kemuliaan Al Qadr dengan keringat ibadat, cukuplah dengan merayu pengampunan Allah dengan air mata taubat.

Ibadat jangan sampai mencabut rasa berdosa, maksiat jangan sampai menyebabkan rasa putus asa.





Allah tidak akan membela hanya kerana kita dalam kebenaran... tetapi apabila kita benar-benar berpegang kepada yang benar. Kemenangan di Badar, pengajaran di Uhud dan ketabahan di Khandak, ada ibrah untuk pejuang merenung ke dalam diri...

Bukan kerana kebatilan dan kejahatan musuh, tetapi sejauh mana kebenaran dan kesabaran yang ada di dalam diri...

Yang tersirat di sebalik pesan Sayidina Umar:
"Dosa... akan menyebabkan tentera Islam tewas oleh kekuatan walaupun dalam kebenaran."
Yang tersurat di sebailik peringatan Sayidina Ali: "Kebenaran yang tidak tersusun akan kalah oleh kebatilan yang tersusn."

Cinta kita kepada kebenaran mesti mengatasi cinta musuh kepada kebatilan. Dan jangan sampai kebencian kita terhadap kemungkaran, menyebabkan hilang rasa kasihan belas kita kepada pelakunya...

Dengan tulus rasa kasihan... bukan kerana rasuk amuk kebencian!





Iman itu diuji. Iman itu bahagia. Iman itu ialah bahagia apabila diuji.

Bersedialah untuk diuji dengan sentiasa menambah iman. Dengan iman kita diuji, dengan ujian kita menambah iman.

Orang yang bahagia tidak sempat bertanya apakah aku bahagia... kerana sibuk menghadapi ujian. Mereka hanya sempat bertanya, apakah aku sudah beriman?

Apakah aku beriman? Jawabnya, (kembalilah kepada ayat pertama...)

P/s Syukran kepada semua yang mendoakan. Penglihatan saya beransur pulih. Alhamdulillah.





Tanda hati itu beriman ialah gembira dengan kedatangan Ramadan.
Walaupun sekadar gembira, tetapi itu soal rasa, bukan boleh dipaksa akan kehadirannya. Ia muncul tanpa 'dipanggil' dan difikir...

Ya Allah, didiklah hati kami agar sentiasa serasi dengan perintah dan takdirMU. Moga kami merindui Ramadan kerana mencintaiMU.

Dan terus berusaha mencintaiMU walaupun cinta kami sering terganggu! Amin ya Allah.





Ucapan alhamdulillah setiap kali kita mendapat nikmat, sebenarnya lebih bernilai daripada nikmat itu sendiri...

Apabila kita memuji Allah atas nikmat yang sedikit, Allah menjanjikan datangnya nikmat yang lebih banyak.

Lalu... alhamdulillah kita akan mencambahkan lebih banyak alhamdulillah!





Apa yang diberikan sebenarnya lebih banyak daripada apa yang kita inginkan.

Nikmat yang telah Allah beri, jarang kita syukuri.
Nikmat yang belum dimiliki, itulah yang sering kita ingini...

Namun tidak salah untuk terus meminta... tetapi pintalah dengan hati yang bersyukur.
Allah tidak akan gerakkan hati kita untuk berdoa, jika DIA tidak ingin memakbulkan doa itu.

Justeru, kemampuan hati kita untuk berdoa... itulah yang terlebih dahulu perlu kita syukuri!
Syukur... kerana dikurniakan hati yang masih mampu bersyukur.





Yang berupaya dan kuat, gunakan kekuatan untuk melakukan taat.
Yang lemah tidak berdaya, tahanlah diri agar tidak melakukan dosa.

Jika tidak mampu tahajjud di malam hari, cukuplah dengan meninggalkan mengumpat di siang hari.

Menangislah selalu kerana dosa-dosa, tetapi jika tidak mampu, menangislah kerana diri sudah tidak mampu lagi menangis...





Dipercayai lebih uatama daripada dicintai. Berapa banyak perhubungan yang putus akibat hilangnya kepercayaan. Dan berapa banyak cinta yang teguh utuh bermula daripada satu kepercayaan.

Islam meletakkan kepercayaan sebagai asas kegala kecintaan...
Tanpa iman (kepercayaan), tidak akan ada kecintaan yang berkekalan.

Binalah kepercayaan pada diri dengan iman.
Binalah kepercayaan di sisi manusia dengan tindakan (amalan).
Barulah kita dicintai kerana dipercayai!





Kerinduan untuk mendapat keampunan Allah memudahkan kita memaafkan kesalahan sesama manusia.
Ingat kepada mati akan memadamkan godaan untuk melakukan dosa.
Menyedari keaiban diri akan menahan lidah dan hati daripada mengeji orang lain.





Hedonisme akan sentiasa digunakan untuk membunuh idealisme. Namun tidak selamanya remaja akan tertipu dengan dengan kebatilan bersalut kemanisan. InsyaAllah, kebenaran yang pahit akan bangkit, kerana ramai yang telah menyedari diri semakin sakit...





Tanpa KEBENARAN, tidak akan ada PERPADUAN. Mesti rela berpisah kerana Allah daripada terus bersama dalam menderhakaiNya.

Tidak ada KEAMANAN tanpa KEADILAN. Keadilan itu ditegakkan oleh KETAQWAAN. Lalu bertaqwalah dan tegakkanlah keadilan... pasti akan ada keamanan.

Kebenaran itu dari ALLAH, hanya Allah yang mampu menyatukan hati-hati manusia. Ketaqwaan itu dari Allah, hanya orang yang akrab denganNya mampu menegakkanya.

Tanpa Allah sebagai TUJUAN, kita akan terus tersasar mencari jalan!

Hakikatnya, perpaduan dan keharmonian itu adalah BUAH yang tumbuh daripada POHON kebenaran dan ketaqwaan!





Jika orang kaya tidak membazir, tidak akan ada orang miskin terbiar tanpa pembelaan. Kerap kali sikaya menjanjikan 'kuah' sedang isinya telah dilahap oleh mereka.
Namun kebatilan pasti runtuh kerana masih ada pejuang yang sanggup menegakkan kebenaran walaupun terus ditakut-takutkan oleh kelaparan.
Penjara materialisma tidak selamanya boleh mengekang kebangkitan agama!





Kemarahan kita terhadap orang lain lebih 'membakar' diri sendri berbanding orang yang kita marahkan. Oleh itu, penting sekali untuk kita memaafkan kerana ia akan memberi ketenangan pada diri kita sendiri sebelum ketenangan itu dinikmati oleh orang yang kita maafkan.
Memaafkan kekadang lebih sukar daripada meminta maaf terutamanya apabila kita berkuasa dan berpeluang untuk membalas!





Orang yang pemaaf itu selalunya mudah tidur, boleh makan apa sahaja dengan berselera dan tinggal di mana sahaja bagaikan istana.
Justeru, jika sukar tidur pada waktu malam, asyik mengeluh tidak berselera dan suka merungut tentang rumah yang kecil... mungkin disebabkan oleh sikap kita yang sukar memaafkan.
Memaafkan orang lain bererti memaafkan diri sendiri!





Apabila 'memberi' tidak menimbulkan kegembiraan lagi, itu bermakna kasih sayang telah terjejas. Kasih sayang sesama manusia terjejas, apabila cinta kepada Allah (iman) terjejas. Iman itu berkadar terus dengan kasih sayang.

Apabila semakin kurang memberi, ertinya semakin berkurang kasih sayang dan semakin berkurang pula iman.

Justeru, berhati-hati apabila hidup kita tidak gembira lagi... itu tandanya kita kurang memberi. Dan kita sukar memberi...apabila (kembali ke pangkal ayat perenggan pertama di atas).





Jangan marah kalau orang lain tidak berubah seperti mana yang kita kehendaki jika diri kita sendiri tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki.
Sukarnya mendidik diri seharusnya menimbulkan sabar dalam mendidik orang lain.





Keyakinan kepada Hari Akhirat sangat penting ketika kita hidup di dunia. Itulah pendorong untuk terus melakukan kebaikan walaupun tidak mendapat penghargaan insan. Itulah perisai untuk tidak melakukan kejahatan walaupun terlindung daripada pandangan manusia.





Jangan biarkan tragedi silam menyakitkan kita dua kali. Sekali sewaktu kita mengalaminya, kedua sewaktu kita mengenangnya.
Selepas mengambil pengajaran daripadanya, ayuh lupakan.Tidak ada kejayaan untuk mereka yang tidak bermula pada hari ini. Semalam berakhir pada malam semalam. Orang yang sering diganggu masa silam tidak akan mampu melangkah ke hadapan. Apabila ditanya bilakah kita akan bahagia... Jawablah, hari ini!


Didiklah hati untuk merasa bahagia membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain, boleh berdiam diri ketika menghadapi kritikan yang tidak adil dan memberi maaf ketika mampu untuk membalas.

Syukuri yang sedikit, Allah akan memberi yang banyak. Buat dulu yang termampu, Allah akan bantu untuk membuat yang tidak termampu. Amal dulu ilmu yang ada, nanti Allah akan memberi ilmu yang tiada. 
Cubalah sedaya upaya untuk merasa bahagia dengan membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain. 
Apabila mampu melakukan ketaatan... katakan alhamdulillah. Apabila terlanjur melakukan kejahatan...ucapkan astaghfirullah. 
Syukur dan taubat adalah penawar kelelahan diri... di jalan mujahadah!

Ilmu yang sebenar membawa takut kepada Allah. Jika tidak, itu sekadar maklumat. Untuk menukar maklumat menjadi ilmu... perlu amal. Amal perlu mujahadah. 

Mujahadah itu 'perang dalam diri' yang siksa dan menyakitkan. 
Namun, setelah beberapa lama... bisa akan bertukar biasa. Biasa akan menjadi manis... Dan akhirnya kita menjadi mujahid kebenaran!

Mujahadahlah, lebih baik kita 'sakit' kerana menempuh taat daripada sakit menempah maksiat. 

Hizbullah dan Hizbusyaitan sama-sama menempuh kesusahan kerana dunia memang negara ujian... untuk pendukung kebenaran dan pendukung kebatilan. 

Wallahua'lam.

Pertikaian terlalu banyak. Ilmu lawan ilmu kekadang membuat kita keliru. Hujah yang pelbagai, menyebabkan kita terus bertikai. Padahal ilmu itu cahaya... mengapa? Kembali kepada soal hati. Tepuk dada, tanya di mana keikhlasan kita? Jika hati penuh iman, pasti akan kukuh persaudaraan, kurang pertikaian. Hakikatnya, ilmu kekakadang lebih memanaskan kepala, kurang menyejukkan hati. Ya Allah, jadikan ilmu jalan menuju iman kami. Jangan jadikan ilmu sebagai hijab antara kami dengan Mu. 
Kelawar tidak dapat melihat di siang hari, bukan kerana tidak ada cahaya... tetapi kerana 'kelebihan' cahaya. Ya Allah, berilah kami ilmu yang bermanfaat, hati yang yakin, doa yang didengari. Amin.

Terhalang hati daripada berdoa lebih buruk daripada tidak tertunainya suatu doa. Namun, bila Allah datangkan rasa hati untuk berdoa... berdoalah, InsyaAllah, DIA akan memberi kebaikan daripada doa tersebut. 
Berdoalah supaya kita diberi hidayah untuk terus berdoa.

Belajarlah melepaskan... serah dan pasrahlah kepada kekuatan Allah bukan pada kekuatan kita. Ketika bertembung dengan halangan yang sukar, atau setelah segala usaha telah menemui jalan buntu, binalah harapan dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Pada detik itulah selalunya terbuka jalan, terserlah penyelesaian. Let go, let GOD!

Sukarnya merasakan saudara muslim adalah sebahagian daripada diri. Kita laksana satu jasad, sakit satu anggota maka sakitlah seluruhnya. Mencela mereka seperti mencela diri sendiri. Menyakiti hati mereka sepatutnya dirasakan menyakiti hati kita sendiri.
Lalu kita tertanya-tanya di dalam hati, apakah aku muslim dalam ertikata yang sebenarnya? Kalau benar, mengapa aku belum merasakan saudara muslimku yang lain seperti sebahagian anggota tubuhku?

Senyum dan salam adalah budaya hidup di dalam syurga. Penghuni Syurga sentiasa tersenyum dan saling memberi dan menjawab salam sesama mereka.

Senyum itu indah, salam itu mudah. Jika kita ingin memasuki syurga di akhirat nanti, marilah amalkan cara hidup ahli syurga di dunia ini. Senyum dan sebarkan salam!

Kaya sebenar bukan kerana memiliki tetapi apabila tidak dimiliki. Apabila kita terlalu ingin memiliki sesuatu atau seseorang, tanpa sedar kita telah "dimiliki" olehnya.

Siapa yang takut kepada Allah, Allah akan menjadikan seluruh makhluk takut kepadanya. Siapa yang tidak takut kepada Allah, Allah akan menjadikan dia takut kepada seluruh makhlukNya.

Semua di atas dicopy daripada status FB ustaz Pahrol....mohon dihalalkan ilmu2 ini ya Ustaz....

0 comments:

Post a Comment