Monday, 3 September 2012

Dulu Obes Kini Pelari Marathon

Dulu obes kini pelari marathon

Syahril percaya, tiada apa yang terlambat dalam hidup ini andai kita bersungguh untuk mendapatkannya.


MEMBESAR sebagai kanak-kanak montel dan remaja obes pastinya bersukan adalah perkara terakhir yang difikirkan oleh Syahril Nizam Kamarudin.
Beliau yang mesra dipanggil Syahril berkata, sebagai cucu manja yang dipelihara nenek sejak lahir, dia bebas melakukan apa sahaja tanpa ada yang melarang.
“Tiada siapa yang akan tegur atau marah jika saya makan dengan banyak, tidur hingga ke tengah hari dan tidak pernah bersukan. Lagi pun ketika itu saya fikir bersukan perlukan duit yang banyak untuk membeli kasut, pakaian dan sebagainya. Jadi saya tidak mahu menyusahkan nenek,” kata lelaki berusia 36 tahun itu mengimbau kenangan masa silamnya.
Dengan gaya hidup yang sebegitu, tidak hairan ketika baru memasuki sekolah menengah beratnya sudah mencecah 110 kilogram.
Sikap itu terus dibawa Syahril sehingga berumah tangga. Mujur dengan ketinggian 6 kaki 2 inci membuatkan tubuhnya tidak kelihatan terlalu gemuk walaupun beratnya ketika itu sudah melebihi 120 kilogram.
Selepas memperoleh anak kedua manakala anak pertama pula sudah pandai minta ditemani ketika bermain, lelaki bergelar arkitek itu mula sedar dengan keadaan fizikalnya.
“Saya cepat rasa penat dan termengah walaupun hanya sekadar mengejar anak berlari. Oleh sebab itu saya rasa seperti perlu lakukan sesuatu bukan hanya untuk diri sendiri tapi untuk keluarga juga,” katanya.
Lantaran itu Syahril bertekad untuk menguruskan badan dengan cara bersenam bukan melalui program yang ditawarkan di pusat kecantikan. Namun ada sahaja usikan nakal yang berkata dia sudah tua untuk melakukan perkara seperti itu (usianya 32 tahun ketika itu).
Tidak berpuas hati, Syahril akhirnya melantik seorang jurulatih peribadi dalam usaha menurunkan berat badan ke tahap yang ideal.
Berlari
Atas beberapa faktor, jurulatih menyarankan agar Syahril bermula dengan senaman paling mudah dan tidak berisiko seperti berjalan.
“Pada mulanya saya terfikir, saya mengupah jurulatih dan dia hanya minta saya berjalan. Bolehkah menurunkan berat?” soalnya.
Namun begitu beliau tetap mencubanya tanpa sebarang bantahan. Pada peringkat permulaan dia berjalan pada jarak dekat bersama jurulatih.
Semakin lama jarak itu ditambah dan jurulatih turut mengajar bagaimana untuk berjalan lebih laju atau lebih mudah dengan berlari secara perlahan.
Memang agak sukar kerana dia yang tidak pernah bersukan ketika zaman kanak-kanak dan remaja kini terpaksa berlari pula.
Selain berjalan kaki dan berlari, beliau juga diperkenalkan dengan diet bagi membantu menurunkan berat badan.
“Diet yang diberi sebenarnya bukan terlalu menyeksa seperti ramai sangkakan. Jika dulu saya makan tiga atau empat kali sehari, tapi kini menjadi lima hingga enam kali sehari. Syaratnya tiada nasi tapi lebihkan bijirin, sayur dan buah,” katanya.
Walaupun begitu, setiap seminggu sekali iaitu pada hari Sabtu Syahril boleh menikmati apa sahaja hidangan yang dia mahu tanpa ada sekatan.
Selepas beberapa bulan mencuba, dia semakin rasa seronok dan bertenaga. Perkara itu berterusan selama dua tahun dan dia berjaya mendapatkan berat ideal iaitu 80 kilogram.
Sertai pertandingan
Selepas dua tahun berlari secara suka-suka, pada suatu hari jurulatih mengajak Syahril mencuba menyertai pertandingan larian berjarak 10 kilometer bersama-sama.
“Baru pertama kali mencuba saya terus jatuh cinta. Sebab bila berlari kita tidak lari sendirian apatah lagi jurulatih turut menemani ketika larian pertama saya,” katanya.
Bermula dari situ, beliau pula yang akan mencari pertandingan larian sehingga ia menjadi rutin amalannya. Tahun lalu sahaja dia telah menyertai 10 acara dan yang terakhir adalah Standard Chartered KL Marathon 2011 yang berlangsung baru-baru ini. Walaupun tidak menang, namun katanya semangat dan keseronokan berlari beramai-ramai sukar diungkapkan.
Bagi Syahril, rutin hidupnya kini berubah hampir 100 peratus. Daripada seorang kanak-kanak dan remaja yang obes serta tidak pernah bersenam, kini larian antara perkara yang cuba dilakukannya walaupun bukan setiap hari.
Dia kini berasa lebih sihat dan bertenaga, malah lebih seronok kerana mampu melayan anak-anak bermain tanpa rasa penat atau lelah.
Syahril percaya, tiada apa yang terlambat dalam hidup ini andai kita bersungguh untuk mendapatkannya.

0 comments:

Post a Comment