Monday, 27 June 2011

Nabi Muhammad menemui Allah

KEMBALI meneruskan peristiwa penuh bersejarah dengan menyingkap pula perjalanan Mikraj Rasulullah s.a.w di mana Baginda naik ke Hadratul Qudus menemui Allah s.w.t.
Pada masa ini, didatangkan kepada Baginda sebuah Mikraj yakni tangga yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkatlah pintu langit dunia (pintu Hafzhah). Setiap kali Baginda bertemu dengan para nabi, perkataan pertama yang diucapkan ialah assalamualaikum. Ini menunjukkan bahawa pentingnya dan mulianya ucapan salam yang sering kita ucapkan sehari-hari dan kita perlu sentiasa mengamalkan budaya memberi salam sebagai mendoakan kesejahteraan sesama kita. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan ucapan assalamualaikum ), nescaya kalian akan mewarisi syurga." Antara peristiwa yang berlaku di setiap tangga yang dinaiki Rasulullah ialah: Langit pertama: Rasulullah dan Jibril masuk ke langit pertama lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang yang makan riba dan harta anak yatim serta melihat orang berzina dengan rupa dan kelakuan yang sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung kepada susu penzina perempuan.

Langit kedua: Nabi Muhammad dan Jibril naik tangga langit kedua lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya a.s.
Langit ketiga: Naik tangga langit ketiga dan bertemu Nabi Yusuf a.s.

Langit keempat: Naik tangga langit keempat lalu bertemu Nabi Idris a.s.

Langit kelima: Naik tangga langit kelima dan bertemu Nabi Harun a.s yang dikelilingi kaumnya Bani Israel.

Langit keenam: Naik tangga langit keenam dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu Nabi Musa a.s. Baginda disuruh mengangkat kepalanya lalu dapat melihat umat Baginda sendiri yang ramai termasuk 70,000 orang masuk syurga tanpa hisab.

Langit ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu Nabi Ibrahim a.s sedang bersandar pada Baitul Makmur sambil dihadapi kaumnya. Kepada Rasulullah, Nabi Ibrahim bersabda: "Engkau akan berjumpa Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu daif, maka berdoalah untuk umatmu. "Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillahlah Allahuakbar dan Walahaulawalaquwataillabillahi'aliyul'adzim. "Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga." Selepas itu Baginda masuk ke dalam Baitul Makmur lalu solat. Baitul Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah dan adalah tempat malaikat bertawaf.
Tangga kelapan: Di sinilah disebut 'al-kursi' yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu.

Sungai yang airnya tidak berubah, sungai susu, sungai arak, sungai madu serta buah, daun dan dahan yang berubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan dan semua keindahan yang tak terperi oleh manusia. Baginda juga dapat melihat air sungai Kauthar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta penunggunya, Malik.

Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk Sidratul Muntaha. Rasulullah w masuk dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib dalam nur 'arasy iaitu lelaki dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga kesepuluh: Baginda sampai ke Hadratul Qudus dan Hadrat Rabbul Arbab lalu dapat menyaksikan Allah dengan mata kepala Baginda, lantas sujud. Di sinilah Allah memfardukan solat 50 waktu kepada Baginda. Selesai munajat, Rasulullah dibawa menemui Nabi Ibrahim kemudian Nabi Musa.

Nabi Musa bertanya: "Apakah yang difardukan Allah kepada kamu untuk umatmu?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Solat 50 kali sehari." Nabi Musa kemudian berkata: "Kembalilah menghadap Tuhanmu dan mintalah pengurangan. Sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melakukan hal itu." Lalu Baginda pun berulang alik sebanyak sembilan kali sehingga Allah berkenan mengurangkan waktu solat menjadi lima kali sehari semalam dengan mengekalkan nilai pahala bersamaan solat 50 kali.

Selepas Mikraj, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitulmaqdis. Kemudian dengan menaiki Buraq, Baginda tiba di Masjidil Haram pada malam yang sama. Baginda menceritakan perjalanan itu kepada kaum Baginda, tetapi mereka menuduh Rasulullah berdusta kerana mana mungkin Baginda dapat sampai ke tempat-tempat tersebut dalam masa yang singkat sedang manusia biasa memakan masa yang lama untuk ke sana. Hanya Saidina Abu Bakar sahaja yang membenarkan kata-kata Baginda lalu beliau diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud 'yang membenarkan.' Peristiwa Israk Mikraj memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran dan seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati dan takut kepada kekuasaan

Sumber : mymetro

0 comments:

Post a Comment