Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Buatlah kebaikan sepanjang hayat kamu
dan nantikan hembusan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mempunyai
hembusan-hembusan rahmat-Nya yang akan mengenai sesiapa yang
dikehendaki daripada kalangan hamba-Nya. Mohonlah kepada Allah agar Dia
menutup keaiban kamu dan mengamankan kegementaran kamu.”
(Riwayat at-Tabrani)Kini, hembusan rahmat itu kian menghampiri. Akan tiba beberapa hari yang terbaik di dunia, hari di mana amal soleh seseorang hamba paling disukai Pencipta.
Daripada Ibn Abbas radiallahuanhu, Nabi
sallallahu alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Tidak ada hari-hari di
mana amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba lebih disukai Allah
daripada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari yang lain. Hari-hari
itu adalah 10 hari daripada Zulhijjah...”
(Riwayat al-Bukhari)
Islam adalah satu cara hidup yang
menggalakkan umatnya supaya beramal atau bekerja. Tiada guna iman yang
tidak diikuti dengan amal. Lantaran itu Nabi sallallahu alaihi wasallam
bersabda, amal soleh yang paling disukai Allah, bukan sekadar iman atau
sekadar ucapan. Ia selari dengan firman Allah Taala di beberapa tempat
dalam al-Quran.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya akan
menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.”
(Maryam: 96)
Bila menyebut amal soleh, maka yang
segera terlintas dalam fikiran ialah amalan-amalan seperti solat,
puasa, zikir, tilawah dan seumpamanya. Memang tidak dinafikan semua itu
adalah amal soleh yang sangat berguna untuk siapa yang mengerjakannya.
Hal ini dinyatakan oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam hadis
yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas radiallahuanhu yang bermaksud:
“Tidak ada hari yang lebih agung di
sisi Allah, dan tidak ada amal yang lebih disukai Allah daripada
hari-hari 10 Zulhijjah. Maka hendaklah kamu membanyak pada hari-hari
itu tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.”
(Dikeluarkan oleh at-Tabrani)
Namun, hakikat amal soleh yang dituntut
oleh Allah dan Rasul tidak harus disempitkan dalam ruang lingkup itu
sahaja. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan, semua medan amal bani
insan; sama ada di dalam masjid atau di luarnya, sama ada di rumah, di
tempat kerja, di pasar raya, di taman permainan, di jalan raya, di
tempat letak kereta dan di mana-mana saja.
Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Setiap ruas sendi manusia wajib
memberi sedekah pada setiap hari apabila terbit matahari. Mendamaikan
antara dua orang (yang bertelagah) satu sedekah, membantu seseorang
menaiki kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya satu sedekah,
kata-kata yang baik satu sedekah, setiap satu langkah ke tempat solat
satu sedekah, membuang kotoran di jalan satu sedekah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sehubungan dengan apa yang disebut oleh
Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam hadis di atas, Abu Dzar bertanya
baginda, “Kalau saya tidak buat semua itu?”
Apa jawapan Nabi?
Baginda menjawab: “Engkau menolong orang yang sedang bekerja, atau membantu orang yang tidak mahir dalam pekerjaannya.”
Abu Dzar tidak berhenti di situ. Dia
terfikir tentang golongan yang tidak punya apa-apa, baik harta, tenaga
mahupun kepandaian, maka apa yang boleh dia lakukan? “Bagaimana ya
Rasulullah, mereka yang tidak ada kebolehan untuk melakukan apa-apa
amalan?”
Namun Nabi sallallahu alaihi wasallam
berpandangan lebih luasa daripada itu. Lalu baginda menjawab: “Engkau
menahan dirimu daripada melakukan kejahatan terhadap manusia.
Sesungguhnya itu adalah satu sedekah daripada dirimu untuk dirimu!”
Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Alangkah luasnya ruang amal soleh dan
alangkah banyak pintu-pintunya. Tidak perlu berebut dan berasak-asak
untuk memasukinya. Di mana-mana dan pada bila-bila masa amal soleh
menanti kita.
Bermula di dalam rumah, suami
memuliakan isteri, isteri menghormati suami. Ibu bapa mengasihi
anak-anak, anak-anak menyayangi ibu bapa.
Di jalan raya bersopan dan patuhi
undang-undang. Di tempat letak kereta, letak dengan baik dan tidak
menghalangi laluan orang lain.
Di tempat kerja tunaikan hak pelanggan, majikan menjaga kebajikan perkerja, pekerja menjalankan tugas dengan amanah.
Di sekolah guru-guru dihormati, murid-murid disantuni.
Pengamal media tidak menyiarkan berita palsu, berita fitnah, berita yang mengaibkan.
...dan lain-lain lagi.
Sesungguhnya 10 hari daripada Zulhijjah
akan datang dan pergi sebagaimana hari-hari yang lain juga. Inilah
masanya untuk kita semua berebut dan berlumba-lumba mengislahkan amal
agar menjadi amal soleh yang paling disukai Allah.
Selamat beramal soleh.
Khamis, 27 Oktober 2011 14:49
Ustazah Maznah Daud
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/ustazah-maznah-daud/1295
0 comments:
Post a Comment