Sab, 16 Jul 2011 17:13 |
Maisarah
| aeyie®
Rejab
sudah berlalu. Kini telah pertengahan Syaaban. Lambaian Ramadan 15 hari
lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan
Syaaban.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda,
"Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan
perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان
"Allahuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan"
Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk
kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga
Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat
bertemu dengan Ramadan."
Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan
yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan
pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk
kebersihan hati.
Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak.
Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang.
Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat
Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan
untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu
sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai
kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya
kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan
dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan RasulNya lebih
mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu
berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab
Raudatul Ulama).
Fadhilat Syaaban
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab
adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan
Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela
dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW
lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan
bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya
dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan
bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang
menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa
berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada
pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala
mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti
orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun
dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati
syahid."
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban,
bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari
perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan
menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan
penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata:
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban,
sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban
1. Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya :
"Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya
Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat
dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu
dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai
Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini
telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang
yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh
hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak,
orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka
kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api)
dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya
mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu
bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta
menangis di dalam sujudnya dengan membaca: "Ya Allah sesungguhnya aku
berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak
menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu
sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari
Kitab Zubdatul Wa'idzin.
2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah
SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi
satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan
diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat
mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian.
Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW
menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada
perintah baru dari Allah SWT.
Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang
berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW
mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima
wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau
mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan
Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya'. Rasulullah SAW
sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat
sebagai makmum.
3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah
merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan
kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.
Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum
yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah
seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya
adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin
Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah
pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan
Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan
dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais
meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah
dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan
Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.
Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat
Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang
memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam
dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
Begitu besarnya fadhilat bulan Syaaban. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkannya.
artikel dari iluvislam