Friday, 14 September 2012

Ganjaran Isteri Solehah


8 Ganjaran Buat Isteri Yang Solehah

1) “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”.

2) “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”

3) “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.

4) “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.

5) “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.

6) “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.

7) “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)

8) “Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.

Dan ingatlah wahai wanita, semua itu terangkum di dalam suatu perkataan iaitu "TAAT"...

(Hadis riwayat Anas Bin Malik)

Thursday, 13 September 2012

Bila Lelaki Menjadi Dayus?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber’dating’ dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa ‘spoting’ yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit ‘dayus’ kepad dirinya.

Mungkin kita akan berkata dalam hati :-

” Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku”

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.

Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.

Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.

Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya : “Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid” ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

Sekian

Oleh; Ust Dr Zaharuddin Abd Rahman

Wednesday, 12 September 2012

Masih Adakah Manusia seperti ini?


Seorang pemuda sedang dalam satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat di satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari makan di situ. Oleh kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang kelaparan merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di situ. Tidak berapa lama kemudian, sang petani yang memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan habis tanamannya musnah, petani itu hilang kesabaran lalu membunuh kuda yang memakan tamannya.
Apabila terjaga dari tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak juga berjumpa. Akhirnya dia ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat keadaan itu, dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus meluru ke sebuah rumah berhampiran.Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun dan berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu terbunuh.
Peristiwa itu diketahui orang ramai. Pemuda itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan. Mengikut hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan supaya dia dipenjarakan sehari semalam sebelum dia dipancung pada jam 5:00 keesokan petangnya. Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan balik dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan satu perkara yang amat mustahak.Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berputus asa dan terus merayu sambil menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti diselesaikan sebelum dia dihukum bunuh. Dia berjanji akan balik segera sebaik saja urusannya selesai.
Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani itu tidak mengizinkan pemuda itu pergi kerana bimbang dia tidak akan datang lagi untuk menerima hukuman mati.Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan datang semula, namun tiada seorangpun menunjukkan tanda simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk menjadi tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke rumah.
Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar, seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan Hadith. Melihat apa yang berlaku, semua hadirin tercengang dan sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya yang membahayakan diri sendiri. Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan dan membenarkan pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat kejadian ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan pulang semula untuk dipancung sebaik sahaja urusannya selesai.
Abu Zar faham kegagalan pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai.Ketika ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu melihat tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke rumah sementara Abu Zar pula dikurung di penjara. Pada keesokan petangnya, penuh sesak manusia menuju ke istana khalifah untuk menyaksikan episod yang mencemaskan.
Ramai menganggap Abu Zar akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan datang menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan berlaku apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum tiba. Abu Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu menghadirkan diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.Di saat terakhir, orang ramai melihat kelibat seorang lelaki menunggang seekor kuda dengan amat kencang sekali. Ketika itu riak cemas orang ramai bertukar menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda itu sampai genap jam lima petang.
Pemuda itu lantas turun di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana 'terlambat' menyebabkan suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di tengah perjalanan. Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting dulu ialah kerana terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya. Pemuda itu berjumpa Abu Zar untuk mengucapkan terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya sebagai tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan hukuman pancung. Ketika pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan suara yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan rela hati dia memaafkan kesalahan pemuda itu. Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat lega dan terus sujud tanda syukur kepada Allah

Sumber : http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=348:masih-adakah-lagi-manusia-seperti-ini&catid=10:kisah-dan-tauladan&Itemid=74

Kehidupan Berkeluarga Rasulullah Contoh Terbaik


 oleh Marzulina Omar
Panel Penulis JAKIM

SATU aspek sangat baik dicontohi daripada akhlak Rasulullah SAW ialah kehidupan berkeluarga memandangkan masyarakat hari ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti perceraian suami isteri, sumbang mahram serta penderaan.
Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda SAW menunjukkan contoh terbaik dalam memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.



Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Sebagai suami, Baginda SAW begitu menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan.
Baginda SAW juga tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah. Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya: “Baginda SAW (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda SAW Aisyah yang meriwayatkan: “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, Baginda SAW akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa Baginda SAW akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.
Dalam kehidupan berpoligami juga, Baginda SAW adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata.
Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.
Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda SAW datang menemui Baginda SAW, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda SAW tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda SAW menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.
Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda SAW mengikut giliran dan sebelum Baginda SAW meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda SAW berkumpul kerana Baginda SAW hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.
Rasulullah SAW adalah bapa penyayang. Acap kali apabila Baginda SAW melihat Fatimah masuk ke rumahnya, Baginda SAW terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah sebab Baginda SAW amat sayang kepada Fatimah. Baginda SAW menegaskan, “Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”
Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah mencintai ayahandanya lebih daripada cintanya kepada sesiapa pun.
Selepas ibunya Khadijah meninggal dunia, dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya.
Justeru, Rasulullah memanggilnya dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya.
Memiliki sebuah keluarga harmoni memerlukan ikatan yang mesra bukan saja dengan anak dan isteri, malah menantu juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui kehidupan Ali sebagai menantu Baginda SAW.
Ali ra. sebagai menantu Rasulullah SAW turut sama menyingsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di dapur. Usaha sekecil itu, di celah kesibukan sudah cukup bermakna dalam mengambil hati seorang isteri yang saban hari bertungkus-lumus menguruskan rumah tangga.
Bukan Sayidina Ali ra. tidak mahu menyediakan pembantu untuk isterinya itu, namun beliau tidak mampu berbuat demikian. Fatimah ra. amat memahami keadaan suaminya dan beliau sentiasa berusaha membahagiakan suaminya.
Contoh kasih sayang datuk terhadap cucunya boleh dilihat daripada cara Baginda SAW melayani kedua-dua cucu kesayangan iaitu Hassan dan Hussin, anak Siti Fatimah ra. dan suaminya Saidina Ali ra..
Rasulullah SAW bukan saja sentiasa membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda SAW menghampiri Baginda SAW , Baginda SAW terus mendukungnya. Baginda SAW juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya bersama.
Baginda SAW selalu meriba mereka. Pernah ketika Baginda SAW sedang sujud dalam solat, cucu Baginda SAW duduk di atas belakang Baginda SAW sehinggakan Baginda SAW sujud agak lama. Baginda SAW juga selalu bermain kuda-kuda dengan cucunya.
Tarikh : Mac 17, 2008 - 12:53pm
Editor : projakim
Sumber artikel : http://www.islam.gov.my/kehidupan-berkeluarga-rasulullah-contoh-terbaik-oleh-marzulina-omar-bharian-13-mac-2008

Berusahalah jadi baik


Doa Murah Rezeki


Doa khusus Nabi SAW kepada Anas B Malik: (Doa murah rezeki)

"Allahumma , aksir maalahu, wa waladahu, wa wassiqlahu fiddarihi, wa bariklahu fi ma a'toitahu, wa ahsin a'malahu, warghfirlahu."

Maksudnya: Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anak-anak-anaknya, luaskanlah rumahnya, berkatilah dia pada semua kurniaanmu kepadanya, perbaikilah amalannya dan ampunkan untuknya.

Mengikut catatan (ceramah), Anas memang kaya, mempunyai ramai anak ( 120 orang ), umur ketika wafat 104 tahun dan meriwayatkan 2200 hadith Nabi SAW


http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=aYYND1Kp2zQ


Oleh Ustaz Zahazan

Tuesday, 11 September 2012

Jom berubah





Jika mereka mampu berubah, mengapa kita tidak?

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperl
ihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."