Monday, 3 September 2012

Dulu Obes Kini Pelari Marathon

Dulu obes kini pelari marathon

Syahril percaya, tiada apa yang terlambat dalam hidup ini andai kita bersungguh untuk mendapatkannya.


MEMBESAR sebagai kanak-kanak montel dan remaja obes pastinya bersukan adalah perkara terakhir yang difikirkan oleh Syahril Nizam Kamarudin.
Beliau yang mesra dipanggil Syahril berkata, sebagai cucu manja yang dipelihara nenek sejak lahir, dia bebas melakukan apa sahaja tanpa ada yang melarang.
“Tiada siapa yang akan tegur atau marah jika saya makan dengan banyak, tidur hingga ke tengah hari dan tidak pernah bersukan. Lagi pun ketika itu saya fikir bersukan perlukan duit yang banyak untuk membeli kasut, pakaian dan sebagainya. Jadi saya tidak mahu menyusahkan nenek,” kata lelaki berusia 36 tahun itu mengimbau kenangan masa silamnya.
Dengan gaya hidup yang sebegitu, tidak hairan ketika baru memasuki sekolah menengah beratnya sudah mencecah 110 kilogram.
Sikap itu terus dibawa Syahril sehingga berumah tangga. Mujur dengan ketinggian 6 kaki 2 inci membuatkan tubuhnya tidak kelihatan terlalu gemuk walaupun beratnya ketika itu sudah melebihi 120 kilogram.
Selepas memperoleh anak kedua manakala anak pertama pula sudah pandai minta ditemani ketika bermain, lelaki bergelar arkitek itu mula sedar dengan keadaan fizikalnya.
“Saya cepat rasa penat dan termengah walaupun hanya sekadar mengejar anak berlari. Oleh sebab itu saya rasa seperti perlu lakukan sesuatu bukan hanya untuk diri sendiri tapi untuk keluarga juga,” katanya.
Lantaran itu Syahril bertekad untuk menguruskan badan dengan cara bersenam bukan melalui program yang ditawarkan di pusat kecantikan. Namun ada sahaja usikan nakal yang berkata dia sudah tua untuk melakukan perkara seperti itu (usianya 32 tahun ketika itu).
Tidak berpuas hati, Syahril akhirnya melantik seorang jurulatih peribadi dalam usaha menurunkan berat badan ke tahap yang ideal.
Berlari
Atas beberapa faktor, jurulatih menyarankan agar Syahril bermula dengan senaman paling mudah dan tidak berisiko seperti berjalan.
“Pada mulanya saya terfikir, saya mengupah jurulatih dan dia hanya minta saya berjalan. Bolehkah menurunkan berat?” soalnya.
Namun begitu beliau tetap mencubanya tanpa sebarang bantahan. Pada peringkat permulaan dia berjalan pada jarak dekat bersama jurulatih.
Semakin lama jarak itu ditambah dan jurulatih turut mengajar bagaimana untuk berjalan lebih laju atau lebih mudah dengan berlari secara perlahan.
Memang agak sukar kerana dia yang tidak pernah bersukan ketika zaman kanak-kanak dan remaja kini terpaksa berlari pula.
Selain berjalan kaki dan berlari, beliau juga diperkenalkan dengan diet bagi membantu menurunkan berat badan.
“Diet yang diberi sebenarnya bukan terlalu menyeksa seperti ramai sangkakan. Jika dulu saya makan tiga atau empat kali sehari, tapi kini menjadi lima hingga enam kali sehari. Syaratnya tiada nasi tapi lebihkan bijirin, sayur dan buah,” katanya.
Walaupun begitu, setiap seminggu sekali iaitu pada hari Sabtu Syahril boleh menikmati apa sahaja hidangan yang dia mahu tanpa ada sekatan.
Selepas beberapa bulan mencuba, dia semakin rasa seronok dan bertenaga. Perkara itu berterusan selama dua tahun dan dia berjaya mendapatkan berat ideal iaitu 80 kilogram.
Sertai pertandingan
Selepas dua tahun berlari secara suka-suka, pada suatu hari jurulatih mengajak Syahril mencuba menyertai pertandingan larian berjarak 10 kilometer bersama-sama.
“Baru pertama kali mencuba saya terus jatuh cinta. Sebab bila berlari kita tidak lari sendirian apatah lagi jurulatih turut menemani ketika larian pertama saya,” katanya.
Bermula dari situ, beliau pula yang akan mencari pertandingan larian sehingga ia menjadi rutin amalannya. Tahun lalu sahaja dia telah menyertai 10 acara dan yang terakhir adalah Standard Chartered KL Marathon 2011 yang berlangsung baru-baru ini. Walaupun tidak menang, namun katanya semangat dan keseronokan berlari beramai-ramai sukar diungkapkan.
Bagi Syahril, rutin hidupnya kini berubah hampir 100 peratus. Daripada seorang kanak-kanak dan remaja yang obes serta tidak pernah bersenam, kini larian antara perkara yang cuba dilakukannya walaupun bukan setiap hari.
Dia kini berasa lebih sihat dan bertenaga, malah lebih seronok kerana mampu melayan anak-anak bermain tanpa rasa penat atau lelah.
Syahril percaya, tiada apa yang terlambat dalam hidup ini andai kita bersungguh untuk mendapatkannya.

Kelebihan solat tahajud

Alhamdulillah...dengan izin Allah..dapat lagi ku menaip bait-bait isi blog ini untuk tatapan umat semua....

Antara kelebihan solat tahajud....

Tunaikan sembahyang pada malam hari dijanjikan kedudukan terpuji di akhirat

AMALAN solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat tahajud seperti sabda Nabi SAW: “Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud).” Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, Nombor 1163.


Tahajud terbentuk daripada kata dasar hajada bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Jika seseorang berkata: Tahajjadtu bermaksud saya membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h berkata: “Imam al-Tobari menyatakan tahajjud berjaga selepas tidur terlebih dulu.

Menurut Ibn Faris: Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat pada malam hari. Menurut al-Kurra’ pula, tahajjud adalah solat malam secara khusus.” � Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203

Oleh itu, solat tahajud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun, waktu paling utama dilaksanakan solat tahajud adalah satu pertiga malam terakhir iaitu bermula jam 3 pagi hingga masuk waktu Subuh.

Dalil disyariatkan solat tahajud ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israa’: 79)

Abu Ubaidah menyatakan di dalam Kitab al-Majaz: “Maksud firman Allah kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu ialah berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat.
” � Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202

Dalil solat tahajud lebih utama dilakukan satu pertiga malam terakhir berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
“Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih ada baki satu pertiga malam yang akhir.

Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku akan memakbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampuninya.”

Ternyata ibadat di dalamnya ada doa, permintaan dan permohonan ampun adalah solat.

Rasulullah SAW seorang insan dijamin Allah akan masuk syurga. Baginda juga sebaik-baik manusia, malah digelar sayyid al-Mursalin, iaitu penghulu segala Rasul. Baginda insan maksum dan bebas daripada sebarang bentuk dosa.

Walaupun dengan kedudukan sedemikian, Baginda tetap bersungguh-sungguh mengerjakan solat tahajud sehingga pecah tumit kakinya. Isterinya Aisyah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa Baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah masih ingin bersusah payah melakukan ibadat itu sedangkan dia seorang yang dijamin syurga.

Kisah ini disampaikan Aisyah r.a sendiri dalam sebuah hadis: Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Aisyah berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang? Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?” � Hadis riwayat al-Bukhari.

Justeru, selepas dibandingkan amalan Rasulullah SAW ini dengan diri kita yang sentiasa bergelumang dengan dosa, mengapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh melaksanakan solat tahajud? Adakah kita menganggap diri kita setanding atau lebih baik daripada Rasulullah SAW?

Allah mengurniakan pelbagai keutamaan besar bagi mereka yang melaksanakan solat tahajud. Mereka mengerjakan ibadat pada malam hari akan dikurniakan kedudukan terpuji di sisi Allah di akhirat kelak yakni menjadi ahli syurga. 



sumber : berita harian


Orang yang rajin melakukan solat sunat tahajud mendapat 9 kelebihan. 5 daripadanya diperoleh di dunia, manakala selebihnya akan diperoleh di akhirat.



5 kelebihan yang diperoleh di dunia:

Allah akan menyelamatkannya daripada bencana
Tanda berkat pada wajahnya
Disukai oleh ramai manusia
Allah jadikannya seorang yang bijaksana
Bila bercakap penuh hikmah
4 kelebihan yang akan diperoleh di akhirat:

Wajahnya bercahaya
Diringankan hisab
Menyeberangi titian sirat seperti kilat yang menyambar
Dapat buku amalan dengan tangan kanan


"Ya Allah...ringankan tubuh badan kami untuk bangun mengadap dan bermunajat padaMu di sepertiga malamMu..."

Friday, 29 June 2012

kelebihan surah al-kahfi

Terdapat beberapa kelebihan khusus yang telah disebut oleh Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi.
 Antara kelebihannya ialah pengampunan dosa di antara Jumaat dengan Jumaat jika dibaca pada hari Jumaat dan dijauhi fitnah al-Masih ad-Dajjal jika menghafal 10 ayat terawalnya.  Berikut adalah beberapa hadith mengenai kebaikan surah al-Kahfi:
Imam Ahmad berkata :"Daripada Abi Darda' daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: "Sesiapa menghafaz sepuluh ayat daripadanya permulaan surah al-Kahfi,maka terhindar daripada Al-Dajjal."
 [ Riwayat Muslim,Abu Daud,Al-Nasa'i,Al-Tarmizi daripada Qatadah ]
Imam Ahmad berkata : "Daripada Abi Al-Darda'i, Nabi SAW bersabda : "Sesiapa membaca sepuluh ayat akhir daripada surah Al-Kahfi,maka terhindar daripada fitnah Al-Dajjal."
 [ Hadis Riwayat Muslim dan Al-Nasa'i ]
Daripada Muaz Ibnu Anas Al Juhani daripada bapanya daripada Nabi SAW bersabda : "Sesiapa membaca awal dan surah Al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yg membaca keseluruhannya,maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi."
 [ Hadis Riwayat Ahmad ]
Daripada Umar berkata: Nabi SAW telah bersabda : "Sesiapa yg membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Utknya cahaya dihari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat."
 [ Hadis Riwayat Ibnu Katsir]
Daripada Abi Said Al Khudri berkata:"Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dihamparkan utknya daripada cahaya antara dia dan bait Al Atiqa."
 [ Hadis Riwayat Ibnu Katsir]
Daripada Mandhur Ibnu Zaid, Khalid Al-Juhani dari Ibnu Al-Hussien dari bapanya daripada Ali Marfu'an:"Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat,maka dia dihindari daripada fitnah selama lapan hari,dan jika Al- Dajjal muncul,maka terhindar dia daripadanya."
 [ Hadis Riwayat Ibnu Katsir]
Daripada syukbah daripada Abi Hashim dgn isnadnya.sesungguhnya Nabi SAW bersabda : "Sesiapa membaca surah Al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan,jadilah cahaya utknya dihari kiamat."
 [ Hadis Riwayat Ibnu Katsir]
Salam Jumaat..~
JOM baca surah Al-Kahfi... :)
- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

NuMeeQah. Beliau berkongsi karya di http://numeeqah.blogspot.com.

Kehebatan di Bulan Syaaban

Kehebatan di Bulan Syaaban

Rejab sudah berlalu. Kini telah pertengahan Syaaban. Lambaian Ramadan 15 hari lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda, "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان
"Allahuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan"
Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."
Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.
Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak.
Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang.
Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Fadhilat Syaaban
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban
1. Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca: "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.
2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT.
Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya'. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.
3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.
Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.
Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
Begitu besarnya fadhilat bulan Syaaban. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkannya.

artikel dari iluvislam

Monday, 21 May 2012

Keistimewaan Bulan Rejab

Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.
Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.
Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.
Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.
Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.
Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.
Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).
Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)
Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.
Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.
Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”
Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”
Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.
Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.
Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.
Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?
Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam,

 sumber : http://al-islam.wikidot.com/bulan-rejabbersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.
Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

Monday, 14 May 2012

Diet mengikut Jenis Darah



Lumrah bagi seorang manusia, golongan wanita khususnya membimbangi setiap peralihan jarum penimbang berat badan.
Ditambahkan pula jika jarum penimbang berbeza dua atau tiga garis ke kanan, pasti hati tidak keruan dengan niat dipasang untuk berdiet.
Pelbagai ubat-ubatan menguruskan badan bagi mengembalikan bentuk badan ideal berlambakan di pasaran.
Rakan-rakan pula bertindak sebagai penasihat pemakanan persis pakar pemakanan dengan mengesyorkan jenama-jenama tertentu yang dikatakan dapat memberikan kesan yang diingini.
Tidak kurang juga pengalaman-pengalaman mereka yang berjaya mengurangkan berat badan melalui pengambilan ubat-ubatan tertentu.
Segala nasihat diikuti, tetapi malangnya jarum penimbang tidak juga beralih ke kiri.
Anda mula mempersoalkan keberkesanan dan kebenaran nasihat rakan-rakan anda.
Mengapa Si A berjaya mengurangkan berat badannya tetapi tidak anda walhal segala peraturan dan ketetapannya dipatuhi?
Mungkin apa yang kurang adalah anda tidak mengetahui makanan apakah yang bersesuaian dengan jenis darah anda.
Diet berdasarkan golongan darah pertama kali diperkenalkan oleh Dr. Peter J.D Adamo yang menjalankan penelitian pada setiap jenis darah yang menunjukkan kesan fisiologi berlaku terhadap lektin yang masuk dalam tubuh badan.
Lektin adalah protein yang terdapat pada makanan, khususnya tumbuhan kekacang.
Setiap protein makanan yang diserap tubuh, menurutnya hanya sesuai dengan jenis darah tertentu.
Dalam bukunya, "Eat Right For Your Type" yang diterbitkan pada tahun 1996 menerusi kajian yang dijalankan bertahun-tahun itu menjelaskan bahawa setiap individu memiliki tindakbalas yang berbeza terhadap makanan berdasarkan jenis darah yang dimiliki.
Menurutnya, diet yang tidak berjaya berkait rapat dengan perkaitan ini dengan menambah bahawa lektin makanan yang tidak serasi dengan jenis darah tertentu akan membawa komplikasi buruk terhadap kesihatan individu antaranya penggumpalan sel darah merah dan pelbagai komplikasi lain.
Ini berbeza dengan pengambilan makanan yang sesuai dengan jenis darah kerana ia memberikan kesan positif antaranya keadaan emosi yang lebih stabil, mudah mengatasi tekanan dan peningkatan daya tahan lawan penyakit.
Selain itu pengambilan makanan yang bersesuaian dengan jenis darah juga dipercayai dapat mengembalikan fungsi sistem tubuh dan memperbaiki metabolisma tubuh.
Darah terdiri daripada empat jenis iaitu A, B, AB, dan O.
Diet Untuk Golongan Darah 'A'
Dr. Peter J.D'Adamo dalam bukunya menyarankan pemilik jenis darah A mengambil diet vegetarian dengan pengambilan makanan yang mengandungi lektin yang sedikit.
Ini kerana jika kandungan lektin diambil dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan masalah perut. Menurut beliau lagi, golongan individu yang memiliki jenis darah A menghasilkan kandungan lendir lebih banyak berbanding jenis darah lain.
Keadaan ini menimbulkan risiko terhadap jenis penyakit jenis alahan seperti asma, infeksi telinga dan gangguan pada saluran pernafasan. Selain itu sumber makanan berasaskan haiwan seperti ikan dan ayam boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang terbatas.
Individu dengan jenis darah ini juga dianjurkan mengambil susu yang telah melalui proses penapaian seperti susu masam, krim tanpa lemak, keju alami, telur dari jenis organik atau ayam kampung (dalam jumlah terbatas), lemak (dalam jumlah terbatas, kekacang dan bijirin dan susu kacang soya.
Individu darah jenis ini perlu mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.
Makanan yang harus dihindarkan adalah hidangan laut berwarna putih seperti ikan siakap putih, cumi-cumi, daging lembu, daging salai, susu, keju hasil olahan industri, kacang merah, roti, kuih-muih, kek, kentang, mangga, betik, jeruk, pisang, minyak jagung dan minyak kacang tanah.
Ciri khas individu jenis darah A:
  • Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
  • Perlu menghindari makanan yang daripada produk susu dan daging
  • Dianjurkan menjadi vegetarian atau mengambil makanan berkadar karbohidrat tinggi, namun rendah lemak
  • Mengurangkan stres dengan bermeditasi, atau berolahraga
  • Cukup beristirehat
Menu diet yang dianjurkan:
Sarapan: Air putih dicampur jus limau nipis dan oat
Snek: Jus anggur / kopi
Makan Tengah Hari: Salad dan roti gandum satu potong serta teh herba
Snek: Kuih beras dua potong dan teh hijau
Makan Malam: Pasta tanpa daging campur brokoli, yoghurt dan teh herba
Diet Untuk Golongan Darah 'B'
Berbeza dengan individu darah jenis A, individu darah jenis B lebih fleksibel.
Teori Dr. Peter J.D'Adamo menyarankan golongan jenis darah ini menghindari makanan beku atau makanan dalam tin manakala sangat menganjurkan makanan berasaskan susu yang memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi.
Ciri khas golongan darah B:
  • Dianjurkan untuk melakukan diet dengan berbagai-bagai variasi makanan, namun perlu menghadkan pengambilan daging.
  • Disarankan mengambil makanan dan minuman berasaskan susu untuk meningkatkan sistem imunisasi badan.
  • Olahraga yang sesuai dilakukan adalah berenang, bermain tenis, berjalan kaki dan bermeditasi.
  • Untuk mengatasi stres, disarankan memiliki hobi dan aktiviti berasaskan kreativiti.
Pemilik golongan darah B sangat mudah terhadap penyakit berkaitan imunisasi dan serangan virus, mereka disarankan agar mengambil sayuran hijau yang kaya magnesium dalam kuantiti yang banyak.
Makanan yang dianjurkan adalah daging lembu, kambing kibas, arnab, ikan laut, semua produk susu kecuali 'blue chesse' dan aiskrim, telur ayam organik dan ayam kampung, minyak zaitun, beras merah, beras putih, makanan berasaskan beras dan buah-buahan.
Manakala makanan yang perlu dikurangkan pengambilannya adalah ayam, ketam, udang, kerang-kerangan, telur puyuh, telur itik, minyak bijan, minyak jagung, minyak biji matahari, minyak kacang tanah, minyak soya, kelapa, santan, soya, kacang tanah, biji bunga matahari, biji labu, bijan, kacang pistacio, tempe, tauhu, kacang merah, makanan berasaskan gandum, mi segera, beras pulut, jagung, lobak, tomato dan jagung.
Menu diet yang dianjurkan:
Sarapan: Bijirin dan buah pisang beserta segelas susu tanpa lemak
Snek: Jus anggur
Makan Tengahari: Sepotong dada ayam dan dua potong roti beserta salad dan teh herba
Snek: Jus limau/yogurt dan teh herba
Makan Malam: Sepotong ikan salai, sayur rebus, buah-buahan segar dan teh herba
Diet Untuk Golongan Darah 'AB'
Pola makan pemilik golongan darah AB adalah gabungan antara pola makan golongan darah jenis A dan B.
Penyakit yang berisiko dijangkiti adalah sinus, infeksi telinga, dan gangguan saluran pernafasan.
Pengambilan jenis makanan yang dianjurkan adalah hidangan laut, semua jenis telur (kecuali telur itik), susu fermentasi (melalui proses penapaian), minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak kacang tanah, kacang tanah, semua jenis sayuran kecuali jagung, taugeh dan cendawan dan semua jenis buah-buahan kecuali jeruk.
Golongan daripada jenis darah ini, harus menghadkan pengambilan daging lembu, udang dan ikan laut, susu dan semua produk susu serta daging yang diproses.
Makanan berasaskan kekacang pula perlu diambil dalam kuantiti sedikit.
Kurangkan pengambilan berasaskan gandum seperti roti, kek, kuih-muih dan pasta.
Ciri khas individu jenis darah AB:
  • Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
  • Disarankan untuk mengambil makanan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap
  • Untuk lebih bertenaga olahraga pada setiap pagi digalakkan
Menu diet yang dianjurkan:
Sarapan: Air limau nipis, jus anggur, roti dua potong beserta satu potong keju
Snek: Yogurt
Makan Tengahari: Dada ayam empat hirisan, salad, dua biji buah plum dan teh herba
Snek: Kek keju dan teh herba
Makan Malam: Omelet dan salad buah serta kopi
Diet Untuk Golongan Darah 'O'
Dr. Peter J.D'Adamo menyarankan agar pemilik darah jenis O lebih banyak mengambil makanan berprotein tinggi, mengikut diet rendah karbohidrat dengan pengambilan ikan atau daging (kecuali daging yang diolah) serta sayur-sayuran yang banyak, telur dan kacang namun menghindari produk susu dan gandum.
Beliau turut menyarankan agar pemilik darah jenis ini menghadkan pengambilan buah-buahan. Pemilik darah jenis O harus menghindari semua jenis bijirin, pasta dan nasi. Dr. Peter J.D'Adamo turut menyenaraikan jenis makanan yang perlu dihindar seperti sayur brokoli, sawi, taugeh, terung, cendawan, dan kentang.
Bagi pemilik darah jenis ini, telur, susu, gandum dan kekacang tidak diperlukan memandangkan tubuh telah mendapat khasiat daripada sumber daging.
Hindari jeruk kerana ia mampu mendatangkan keracunan usus kepada golongan darah jenis ini.
Ciri khas golongan darah O:
  • Memiliki sistem imunisasi tubuh yang lebih tinggi berbanding golongan darah jenis lain
  • Mudah mengadaptasi berbagai makanan
  • Untuk mengatasi tekanan, disarankan melakukan aerobik
  • Dianjurkan untuk mengambil makanan berprotein tinggi dan rendah karbohidrat, seperti daging, buah-buahan, ikan, sayuran
  • Berisiko terkena radang dan kerosakan organ seperti arthritis jika makanan yang diambil tidak bersesuaian
Menu diet yang dianjurkan:
Sarapan: Dua potong roti bakar lapis mentega dan sebiji pisang
Snek: Teh herba
Makan tengahari: Sepotong daging panggang, salad bayam dan epal
Snek: Sepotong kuih
Makan Malam: Sepotong daging lembu dan asparagus yang direbus, kentang rebus, buah-buahan dan teh herba
Hasil kajian yang dilakukan oleh Dr. Peter J.D'Adamo ini adalah suatu yang baru dan masih terdapat pertikaian daripada pakar pemakanan. Justeru, tidak melihat kepada jenis darah, apa yang lebih utama adalah mengamalkan pemakanan yang sihat.
Pemakanan sihat hakikatnya adalah mengenai memenuhi keperluan pemakanan harian dan pada masa yang sama, mengelakkan kekurangan atau berlebihan zat yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit yang berkaitan dengan pemakanan tanpa mengira jenis darah individu.
Ia meliputi membuat keputusan yang bijak tentang apa jenis makanan yang harus dimakan dan bagaimana mengamalkan tabiat makan yang sihat.
Justeru, terpulanglah kepada anda sama ada ingin mengadaptasi saranan Dr. Peter J.D 'Adamo ataupun tidak.


Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!

Thursday, 10 May 2012

Doa Untuk Anak

Assalammualaikum WBT...

Alhamdulillah...bersyukur kepada Allah kerana nikmatnya yang tidak terhingga....lebih-lebih lagi masa lapang yang banyak dan kesihatan yang sentiasa sihat...terima kasih Allah....

Di sini ingin aku berkongsi sesuatu yang ku dapati daripada inbox email aku yang dihantar oleh kenalanku...di sini aku paste kan untuk amalan kita semua...sama-samalah kita amalkan semoga anak-anak kita menjadi soleh dan solehah...

Ada satu DOA yang mudah dan cepat dan pendek, yang paling senang untuk diamalkan oleh kedua ibu bapa untuk anak-anak mereka, tetapi sering sahaja terlepas pandang.
 
Doa itu adalah :
 
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH YA .... (sebutkan nama penuh anak)
 
Ya. Itu sahaja baris doanya. Mudah bukan? Tetapi termasuklah saya, sangatlah selalu terlepas pandang akan keistimewaan doa ini. Ok, mari di sini kita catatkan mengapa doa ini terlalu istimewa untuk anak-anak kita :
 
Pertama sekali, ibu bapa hendaklah menjiwai doa itu sedalam dalamnya semasa ia diucapkan buat si anak. Mengapa? Kerana maksud yang terkandung di dalamnya sangatlah membantu dalam kehidupan seharian anak. Selalu kita hanya sebut Assalamualaikum sahaja kan.. (ini saya). Kalau boleh cuba mengucapkan nya penuh kepada anak kita. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH dengan cuba menjiwai setiap
ungkapan yang diucapkan. Kenapa istimewa? Mari kita tengok maknanya  
1- ASSALAM : SEJAHTERA.
 
Awal-awal lagi kita sudah mengucapkan segala kebaikan untuk anak kita pada hari itu. Kita mendoakan segala kesejahteraan buat dirinya pada waktu itu.
 
2- WARAHMATULLAH : RAHMAT ALLAH.
 
Kita mengharapkan rahmat Allah menjadi bekalan untuk anak-anak kita dalam kehidupan seharian mereka. Bukankan rahmat Allah itu yang sangat-sangat kita harapkan?
 
3- WABARAKATUH : BERIKAN BERKAT KEPADANYA WAHAI ALLAH
 
Kita mendoakan anak-anak kita diberi berkat oleh Allah, dalam setiap amalannya, perbuatannya, dan apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya, kita mahukan keberkatan untuknya.  
Lalu, memang 'terbuka' lah mata saya pada hari itu, betapa bermaknanya ungkapan doa yang cukup ringkas ini untuk anak-anak.
 
Waktu paling bagus untuk mengucapkannya buat si anak
adalah ketika mengejutkan dia bangun dari tidur. Bayangkan sahaja lah,celik-celik matanya sahaja sudah memperoleh doa dari ibu atau ayah yang cukup bermakna lagi indah untuknya. Selain itu, boleh juga diamalkan mungkin waktu menghantar atau menjemput dia dari sekolah, atau bila-bila masa sahaja ibu dan ayah ingin mengucapkannya untuk anak.
 
Jiwailah salam dan doa itu. Hayati setiap rangkai maksudnya. Tujukan dengan penuh kasih dan cinta buat si anak. Senyum penuh sayang kepada mereka, ketika kita mengucapkan.
 
Semoga anak-anak kita sentiasa sejahtera, dalam rahmat Allah dan sentiasa diberi keberkatan dalam hidup mereka oleh Allah.
 
Doa yang sama kita ucapkan kepada kawan-kawan kita apabila memberi salam juga insyaallah
 
Petikan hadis :
 
“Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” –Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan
Tarmizi. Kredit blog Tim Hadith Psikologi
Nabi<http://hadithpsikologi.blogspot.com/2012/03/teknik-motivasi-nabi-muhamm
ad.html>
 
Wallahua'alam.